Apabila kehendak suami bercanggah dengan kehendak ibubapa

Para ulama Islam semasa seperti Syeikh Muhammad Salleh Al-Munajjid di dalam fatwanya mengatakan bahawa apabila ada konflik di antara suami dan ibubapa maka kehendak suami hendaklah diutamakan.Ini disebabkan oleh kerana pemegang amanah dan orang yang bertanggungjawab kepada sang isteri ketika itu ialah suami dan bukannya ibubapanya.

“Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajibannya menurut cara yang ma'ruf. Akan tetapi para suami, mempunyai satu tingkatan kelebihan daripada isterinya. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Al-baqarah : 228)

Kata kunci di sini ialah “pemegang amanah dan bertanggungjawab.”Isteri wajib mentaati suaminya dan berusaha memujuk suami supaya dapat menerima atau berdamai dengan kedua ibubapanya dan bukanlah bersikap menyebelahi kedua-dua ibubapa kerana di waktu itu pemimpin isteri dan pemegang amanah yang bertanggungjawab ke atas dirinya ialah sang suami.

“Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita).” (An-Nisa : 34)

Dr Ahmad As-Sharbasi, pensyarah Universiti Al-Azhar juga turut mengatakan bahawa apabila seorang isteri itu menjadi kewajipan suaminya maka ketaatan si isteri kepada suami adalah lebih utama berbanding kedua ibubapanya.Sikap campur tangan pihak ibubapa atau mertua ini kerap kali menjadi punca perceraian suami isteri dalam masyarakat dan hal tersebut sangatlah disesali kerana umat Islam gagal mengambil sunnah rasulullah dan Islam sebagai ikutan sebaliknya asyik mengikuti perasaan dan nafsu yang berlawanan dengan agama Allah SWT.
Seorang wanita yang memahami agama Islam akan menyedari bahawa perkahwinan ialah suatu institusi yang tersangat mulia dan keluarga yang dibina bersama suami haruslah dipertahankan daripada ancaman luaran mahupun dalaman. Menyedari hal tersebut maka si isteri akan sanggup berdiri di sebelah suaminya sekalipun menerima ancaman dan tekanan daripada pihak ibubapa yang meminta dengan bermacam-macam permintaan dan desakan.

Seperti ibu yang teguh disebelah bapanya di dalam menghadapi hidup sehingga boleh melahirkan dan membesarkan anak maka seperti itulah seorang isteri harus dapat menyedari bahawa dia perlu tetap teguh dan damai bersama suaminya. Dia juga perlu berharap bahawa suatu hari nanti dia akan menjadi seperti ibunya dan melihat anaknya membesar.Maka sekiranya dia tidak mahu apa yang terjadi kepada dirinya sekarang berlaku kepada anak-anaknya di kemudian hari maka teguhlah disamping suami dan bersabarlah kerana perpisahan dan perceraian di antara suami dan isteri selain memberi kegembiraan kepada syaitan dan ibubapanya langsung tiada membawa manfaat kepada agama dan masa depan hidupnya.Namun itulah realiti masyarakat kita di hari ini apabila ibubapa banyak menjadi peyumbang kepada kerosakan anak mereka dan tidak kurang yang membantu menghancurkan rumahtangga dan masa depan, agama serta kehidupan anak-anak mereka.

Seorang anak tidak boleh memilih ibubapanya maka dia harus bersabar dengan kerenah mereka tetapi dia boleh memilih bakal ibu dan ayah kepada anak-anaknya oleh itu dia perlu gigih dan berjuang mempertahankan atau mendapatkannya.Ubahlah generasi masa depan dengan tindakan kita di hari ini dan sesungguhnya tiadalah daya upaya dan pertolongan melainkan pertolongan Allah SWT.

(source from http://ustaz.blogspot.com )

- never be replaced -